GUEST BLOGGER
By Lebai Sudin
Aku terbaca berita dalam utusan online dua hari lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub mahu kek ekonomi yang ada pada BERNAS dikongsi bersama.
Ayat macam ini, aku rasa pasti jadi popular. Ini ayat orang politik yang sedap didengar. Ramai orang suka dengar ayat macam itu dan orang yang buat kenyataan seperti ini biasanya disanjung dan dipuji.
Salahuddin cakap begitu kepada wartawan selepas 3 jam mendengar taklimat FAMA. Tiga jam dengar taklimat FAMA, tapi buat kenyataan pasal Bernas. Barangkali soal nak tamatkan monopoli BERNAS (satu lagi ayat popular) akan buatkan pemimpin dilihat hebat.
Dia kata lagi, kerajaan tak kan kompromi dalam isu keselamatan makanan. Nah..beras soal isu keselamatan makanan. BERNAS yang memikul tugas dan tanggjungjawab nasional menjaga keselamatan makanan.
Apa dia yang BERNAS jaga? Aku search selama ini dan faham adalah begini…
Selain sebagai pengedar beras, BERNAS kena stok beras negara, pembeli terakhir padi petani (BERNAS wajib beli padi petani yang pihak swasta lain tak nak beli), menguruskan skim pengilang bumiputera dan agih harga padi subsidi kepada petani bagi pihak kerajaan.
Bagi membolehkan BERNAS melaksanakan tugas negara, yang diwarisinya daripada LPN, kerajaan beri hak mengimport beras kepada BERNAS. Sama macam ketika LPN dulu, iaitu sejak 1974. BERNAS terbit apabila LPN diswastakan pada 1996.
Bukan pengimport tunggal pun, yang macam ramai orang faham, cuma kerajaan tak beri kepada orang lain. Sebab isu keselamatan makananlah.. kalau beri sesuka hati, macam mana kerajaan nak lindungi bekalan beras ini.
Yang sibuk sangat pasal monopoli BERNAS, sebenarnya hanyalah AP import tu. Ramai kot yang nak AP tu.. itulah juga yang Menteri sibuik nak orang kongsi kek.. abis…kek yang tanggungjawab nasional tu, tak nak kongsi ke?
Boleh ke keselamatan makanan utama (beras) ini dijaga dan dilindungi apabila kerja import beras diberi secara terbuka atas ayat popular kongsi kek ekonomi. Macam mana kerajaan nak control pasaran ini?
Bila kerajaan terus beri hanya kepada BERNAS import beras, ia adalah mekanisme utama nak jaga pasaran beras tempatan disebablan cabaran volatiliti harga beras antarabangsa. BERNAS jadi “gatekeeping” melindungi industri padi dan beras tempatan.
Kita kena memastikan harga beras stabil dan berpatutan. Kena pastikan bekalan beras cukup di seluruh negara. Standard dan kualitinya terjamin.
Salahuddin tak bimbang ke beras tempatan hilang pasaran pada waktu harga beras antarabangsa rendah?
Dasar macam ini, kalau tak salah aku… Indonesia, Vitenam, Pakistan dan China pun buat benda yang sama. Nak jaga keselamatan makanan negara, kena fokus dan kontrol bukannya nak faraid ramai-ramai.
Sebenarnya, BERNAS hanya import 30 peratus daripada keperluan beras negara. Bukan sewenang-wenangnya bawa masuk. BERNAS kena patuh kepada soal ini. Lagi pun, aku dapat tahu yang kerajaan letak wakil dalam lembaga BERNAS Wakil tu pula, maksud kerajaan lah.. ada kuasa veto dalam lembaga tu. Maknanya, kerajaan boleh tolak/halang atau batalkan sahaja apa-apa yang BERNAS buat tak betul.
Dan lagi satu, tak wujud isu monopoli oleh BERNAS dalam industri beras kerana ada lebih 200 kilang beras di mana cuma 30 daripadanya milik BERNAS. Ada lebih 3,400 pemborong dan hanya 13 adalah anak syarikat BERNAS. Ada lebih 42,000 peruncit dan BERNAS langsung tak terlibat.
Yang BERNAS bersendirian, ialah import beras bagi pihak kerajaan untuk menjaga kepentingan pasaran tempatan dan bekalan beras negara.
Aku harap jawatan kuasa teknikal diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, teliti betul-betul hal ini. Katanya, akan ada model baru bagi menggantikan fungsi BERNAS. Harap-harap ia berkesan untuk menjaga keselamatan makanan utama negara kita, bukan setakat nak liberalkan import beras untuk kongsi kek.
Dan jangan lupa YB Salahuddin, ada lebih 145,000 orang pesawah padi, yang sebenarnya patut diberikan tumpuan. Masalah peringkat pengeluaran inilah yang lebih kritikal.
Sefaham aku, kita tak ada masalah dari segi selepas tuai, sama ada peringkat mengilang, mengedar dan runcit, termasuklah juga import. Tetapi peringkat pengeluaran, yang mana pesawah kita tak sehebat Thailand dan Vietnam…pesawah kita jauh ketinggalan dari segi hasil dan inovatif. Ini yang selalu dibangkitkan oleh penyelidik.
Ini kerana hasil pesawahlah yang memastikan beras tempatan berkualiti. Soal tanah, benih, baja, pengairan dan saliran, penjagaan, sistem tuai dan sebagainya. Mereka ini lebih memerlukan sentuhan kerajaan dan pembelaan, bukannya pihak yang sibuk timbulkan soal import beras.
Import beras telah dimomokkan seolah-olahnya ia masalah besar kepada negara, seolah-olahnya ialah perosak industri beras, penghalang kepada pengawalan keselamatan makanan utama negara.
Apakah, industri beras negara jadi hebat, teratur dan berkesan apabila kerja import beras untuk 30 peratus bekalan ini, dibuka kepada banyak pihak atas nama nak kongsi kek?
Tepuk dada, tanya hati dan akal masing-masing.